Informasi Tauliah




Enakmen 4 Tahun 2006 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis), Bahagian 10 : Pendidikan Agama Islam, telah memperuntukkan : Seksyen 118. Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam
1. Majlis hendaklah melantik suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam, yang hendaklah terdiri daripada :
a) Mufti, sebagai Pengerusi; dan
b) tidak kurang daripada tiga (3) orang dan tidak lebih daripada tujuh (7) orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai.
2. Majlis hendaklah bertanggungjawab bagi melaksanakan keputusan-keputusan Jawatankuasa itu.
3. Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam hendaklah mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan untuk menarik balik tauliah itu.
4. Majlis boleh membuat peraturan-peraturan yang mengadakan peruntukan bagi:
a) tatacara, kehendak-kehendak dan perkara-perkara lain berhubungan dengan pemberian tauliah di bawah seksyen ini, terrnasuk fi-fi yang boleh dikenakan;
b) tatacara Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam; dan
c) elaun yang patut dibayar kepada anggota-anggota Jawatankuasa itu.
Seksyen 119. Kesalahan Mengajar Agama Islam Atau Perkara-Perkara Tentang Agama Islam Tanpa Tauliah
1. Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
2. Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi --- :
a) Mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 121 Enakmen ini; atau
b) Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.