Informasi Tauliah




Terdapat tiga kategori tauliah iaitu:
1. Tauliah Umum
1.1. Tauliah umum adalah bagi calon-calon atau penerima-penerima yang sesuai dengan kelayakannya untuk mengajar agama Islam dari mana-mana bahagian merangkumi Aqidah, Tafsir, Hadis, Feqah dan Akhlak.
1.2. Ia juga termasuk calon atau penerima dalam kategori khas, iaitu nama-nama calon yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa (tanpa melalui proses temuduga). Mereka adalah warganegara Malaysia, terdiri daripada orang-orang kenamaan, ahli akademik, pegawai kerajaan dan pendakwah yang difikirkan layak oleh MAIPs dan Jawatankuasa.
1.3. Kategori tauliah ini dibenarkan menyampaikan kuliah atau ceramah atau mengajar Agama Islam di masjid, surau dan tempat awam samada sebagai Guru Majlis (MAIPs) atau Guru Takmir (JAIPs) atau secara individu atau seumpama dengannya untuk sasaran dipelbagai peringkat dalam Negeri Perlis.
2. Tauliah Asas
2.1. Tauliah asas adalah bagi calon-calon atau penerima-penerima yang sesuai dengan kelayakannya untuk mengajar KAFA atau asas fardhu ain, terdiri daripada guru KAFA, pelajar atau individu yang sesuai dengan kelayakannya.
3. Tauliah Al-Quran
3.1. Tauliah al-Quran adalah bagi calon-calon atau penerima-penerima yang membuat permohonan dan sesuai dengan kelayakannya untuk mengajar kelas al-Quran di pelbagai peringkat umur, samada secara kelompok atau individu. Pemegang tauliah al-Quran juga layak untuk dilantik sebagai guru al-Quran di bawah Guru Majlis (MAIPs).